PROGRAM PEMAKANAN WANITA HAMIL

Laman Utama > Bahagian Pemakanan> Cawangan Pemakanan Keluarga

PENGENALAN

Semua wanita perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang lagi bernutrisi sebaik saja merancang untuk hamil dan diteruskan sepanjang kehamilan  agar dapat melahirkan generasi yang sihat. Ini kerana pemakanan sihat sebelum hamil akan membekalkan simpanan nutrisi bagi keperluan pembentukan janin pada awal kehamilan. Justeru itu, setiap wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil berat mengenai pemakanan bagi mengurangkan risiko kesihatan semasa hamil dan seterusnya melahirkan bayi yang sihat.

 

Sebagai persediaan untuk hamil, wanita perlu mengambil makanan yang seimbang untuk memenuhi keperluan nutrisi badan. Selain itu, amalkan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal (senaman atau bersukan), tidak merokok dan menjaga kesihatan mental. Wanita juga disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui lebih lanjut status kesihatan semasa seperti tahap glukosa darah, dan status hemoglobin (Hb) darah. Status Hb ini merupakan petanda penting samada wanita mempunyai masalah anemia yang mempunyai risiko tersendiri apabila hamil.

 

Semasa hamil, pengambilan makanan yang penuh nutrisi dan mencukupi masih perlu diteruskan disamping mengurangkan pengambilan makanan tinggi gula, tinggi garam dan tinggi lemak (Infografik: Amalan Pemakanan Semasa Hamil Bagi Kehamilan Yang Sihat). Peningkatan berat badan sepanjang kehamilan perlu dipantau agar memenuhi saranan ditetapkan. Peningkatan berat badan yang tidak mengikuti saranan akan menjejaskan kesihatan kepada ibu dan kandungannya (Infografik: Saranan Peningkatan Berat Badan Sihat Semasa Hamil). Amalan pemakanan yang lebih spesifik juga perlu diikuti bagi mengatasi anemia semasa hamil seperti mengelakkan pengambilan makanan dan minuman berkafein contohnya teh dan kopi.

 

Tempoh setahun pertama selepas bersalin merupakan waktu kritikal bagi seorang wanita kerana ia melibatkan perubahan fisiologi badan wanita dan keperluan tenaga yang tinggi. Dalam fasa ini, wanita melalui proses pemulihan dalaman tubuh badan, tempoh berpantang, serta menjaga dan menyusukan bayi. Justeru itu wanita disarankan untuk mengambil makanan yang seimbang dan penuh nutrisi bagi memulihkan kembali kesihatan badan kepada tahap optimum .

OBJEKTIF

Tujuan Program Pemakanan Wanita Hamil dilaksanakan adalah untuk memastikan semua wanita mempunyai pengetahuan mengenai amalan pemakanan yang baik sebagai persediaan kehamilan, semasa hamil dan juga selepas bersalin. Selain itu, untuk memastikan masalah malnutrisi seperti anemia atau gangguan kekurangan iodin dapat dicegah dan juga masalah kurang atau berlebihan peningkatan berat badan semasa hamil.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN

Di setiap daerah, terdapat Pegawai Pemakanan (nutritionist) Kementerian Kesihatan Malaysia samada di peringkat klinik atau komuniti yang akan memberi pendidikan dan bimbingan kepada  masyarakat mengenai kepentingan penjagaan pemakanan bagi kehamilan yang sihat melalui aktiviti berikut:

  1. Pemantauan berat badan wanita hamil di klinik kesihatan.
  2. Pemberian pil zat besi (hematinik) bagi wanita hamil yang mendapatkan pemeriksaan antenatal di klinik kesihatan kerajaan.
  3. Advokasi dan konsultasi pemakanan bagi persediaan kehamilan
  4. Advokasi dan konsultasi pemakanan semasa hamil
  5. Advokasi dan konsultasi  pencegahan anemia dalam kalangan wanita hamil.
  6. Advokasi dan konsultasi  pengurusan berat badan wanita hamil (GWG)
  7. Advokasi dan konsultasi  berkenaan penjagaan pemakanan wanita selepas bersalin .
  8. Demonstrasi masakan pemakanan wanita hamil.

Video
Saranan dan Panduan Peningkatan Berat Badan Sihat Semasa Hamil bagi:

  1. Wanita Kategori IJT : Kurang Berat Badan Sebelum Hamil
  2. Wanita Kategori IJT : Normal Sebelum Hamil
  3. Wanita Kategori IJT : Lebih Berat Badan Sebelum Hamil
  4. Wanita Kategori IJT : Obes Sebelum Hamil

Anemia dan Risiko Kehamilan
Amalan Pemakanan Semasa Hamil Bagi Kehamilan Yang Sihat

 

Infografik
Persediaan Kehamilan:

  • Pentingnya Makanan Berkhasiat Untuk Melahirkan Generasi Sihat
  • Jaga Makan Sebelum Hamil
  • Wanita dan Risiko Anemia

Amalan Pemakanan Semasa Hamil:

  1. Amalan Pemakanan Semasa Hamil Bagi Kehamilan Yang Sihat
  2. Saranan Peningkatan Berat Badan Sihat Semasa Hamil
  3. Panduan Atasi Anemia Semasa Hamil

Amalan Pemakanan Selepas Bersalin dan Menyusukan Bayi:

  1. Amalan Pemakanan Berpantang: Ringkas, Seimbang dan Berkhasiat
  2. Cergas dan Sihat Selepas Hamil: Tips Menjayakan Penyusuan Susu Ibu Selepas Bersalin
  3. Cergas dan Sihat Selepas Hamil: Tips Kembalikan Berat Badan Asal

PEGAWAI UNTUK DIHUBUNGI
Nurul Zaiza Zainuddin 03-88924461