PENGIODINAN GARAM SECARA UNIVERSAL

PENGIODINAN GARAM SECARA UNIVERSAL

Laman Utama > Bahagian Pemakanan> Cawangan Pemakanan Keluarga

PENGENALAN

Iodin merupakan zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan manusia dalam kuantiti yang sedikit namun peranannya penting dalam proses sintesis hormon tiroid di kelenjar tiroid. Hormon ini bertanggungjawab dalam pertumbuhan, perkembangan dan kawalan proses metabolisma badan manusia di semua peringkat usia. Malah, keperluan zat iodin meningkat sebaik saja hamil. Zat iodin adalah penting dalam pembentukan otak janin terutama bagi perkembangan otak serta fungsi saraf selain bertujuan mencegah wanita hamil daripada masalah goiter dan hipotirodisme.

Pengiodinan Garam Secara Universal (Universal Salt Iodization, USI) merupakan  strategi utama yang telah dicadangkan oleh WHO, UNICEF dan ICCIDD (2007) dalam menghapuskan masalah gangguan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD) di peringkat populasi. Ia dilaksanakan dengan menambah zat iodin ke dalam garam yang dijual dan dipasarkan kepada masyarakat secara menyeluruh. Sehubungan itu, pada November 2018, seluruh Malaysia telah diwartakan untuk menggunakan garam beriodin secara mandatori bagi kegunaan isi rumah dan akan mula berkuatkuasa mulai 30 September 2020.

Garam kegunaan isi rumah dipilih sebagai medium untuk melaksanakan proses pengiodinan kerana:

 

  • Bahan makanan asas yang digunakan oleh hampir setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status ekonomi.
  • Kos pengiodinan garam adalah lebih murah berbanding kos fortifikasi makanan yang lain.
  • Penambahan iodin tidak memberi apa-apa perubahan kepada rupa, rasa dan bau apabila digunakan dalam masakan.

Pengiodinan garam ini juga telah mengambil kira strategi pengurangan garam Malaysia iaitu menyarankan penggunaan garam beriodin tidak melebihi 5 gram (1sudu teh) sehari selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

OBJEKTIF

Objektif Program Pengiodinan Garam Secara Universal atau dikenali sebagai USI adalah untuk mengawal dan mencegah gangguan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD) terutama dalam kalangan kumpulan rentan seperti ibu hamil dan kanak-kanak.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN

  1. Advokasi kepada pengilang, peruncit dan pengguna berkaitan penggunaan dan penyimpanan garam beriodin yang betul di setiap peringkat.
  2. Menjalankan latihan kepada anggota kesihatan, penguatkuasa dan lain-lain agensi yang berkaitan.
  3. Menjalankan penguatkusaan di peringkat pintu masuk, kilang dan domestik.
  4. Menjalankan pemantauan paras kepekatan iodin dalam urin dan garam dalam kalangan ibu hamil dan kanak-kanak sekolah

Menjalankan penilaian program USI secara menyeluruh untuk melihat keberkesanan dan impak kepada kesihatan masyarakat.

BAHAN PENERBITAN

Garis Panduan dan Manual
i. Garis Panduan Pelaksanaan Program Pengiodinan Garam Secara Universal di Malaysia (Universal Salt Iodization, USI)
ii. Modul Latihan Pelaksanaan Program Pengiodinan Garam Secara Universal di Malaysia (Universal Salt Iodization, USI)

Video
i. Video Apa Itu Garam Beriodin?
ii. Video Pengendalian Garam Beriodin oleh Pengeluar dan Penjual garam Beriodin
iii. Video Pengendalian Garam Beriodin oleh Pengguna Garam Beriodin

Infografik
i. Apa Itu Zat iodin?
ii. Apa Itu Garam Beriodin?
iii. Kepentingan Iodin Kepada Ibu Hamil dan Menyusukan Bayi

PEGAWAI UNTUK DIHUBUNGI
Nur Amalina Muhamad
03-88924477