PELAKSANAAN CUKAI KE ATAS MINUMAN BERGULA (SSBs) DI MALAYSIA

PENGENALAN
  1. Di Malaysia, masalah berlebihan berat badan dan obes semakin meningkat dan berada di tahap yang membimbangkan. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) mendapati separuh dari dewasa Malaysia (50.1%) mempunyai masalah berlebihan berat badan (30.4%) dan obes (19.7%). Prevalen berlebihan berat badan di Malaysia menunjukkan peningkatan saban tahun jika dibandingkan dengan kajian lepas seperti NHMS 2006 (29.0%), NHMS 2011 (29.4%), dan NHMS 2015 (30.0%). Prevalen obes juga menunjukkan peningkatan yang agak tinggi berbanding kajian sebelumnya iaitu NHMS 2006 (14.0%), NHMS 2011 (15.1%) dan NHMS 2015 (17.7%).
  2. Pengambilan makanan berlemak dan minuman bergula secara berlebihan serta kurang melakukan aktiviti fizikal boleh meningkatkan risiko berlebihan berat badan, obesiti dan penyakit tidak berjangkit. Berdasarkan dapatan NHMS 2019, seramai 38.9% rakyat Malaysia mengambil minuman bergula sedia di minum (Ready to drink) sekurang-kurangnya sekali seminggu dan 4.2% rakyat Malaysia mengambil minuman tersebut setiap hari. Secara purata, dewasa Malaysia mengambil 6 sudu teh gula tambahan melalui pengambilan minuman bergula sedia di minum (Ready to drink) setiap hari. Pengambilan gula tambahan yang berlebihan berkait rapat dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes mellitus. Tinjauan NHMS 2019 juga mendapati bahawa pesakit diabetes mellitus semakin meningkat apabila seramai 18.3% dewasa Malaysia menderita kerana diabetis mellitus pada 2019 berbanding 11.2% pada 2011 (NHMS 2011) dan 13.4% pada 2015 (NHMS 2015).
INISIATIF DAN PENDEKATAN KEMENTERIAN KESIHATAN
  1. Pelbagai aktiviti pendidikan dan promosi pemakanan telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan di samping promosi aktiviti gaya hidup sihat untuk mendorong masyarakat untuk bergerak aktif. Namun begitu, pendekatan ini didapati kurang berkesan dalam memerangi masalah berlebihan berat badan dan obesiti. Justeru, aktiviti pendidikan dan promosi pemakanan diteruskan dengan pelaksanaan hard policy untuk mengekang peningkatan masalah berlebihan berat badan dan obesiti. 
  2. Kementerian Kesihatan bersama beberapa kementerian dan agensi luar, ahli akademik, badan professional dan badan bukan kerajaan (NGO) telah membentuk satu jawatankuasa untuk memerangi obesiti yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam). Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam mengenal pasti faktor risiko obesiti dan mewujudkan polisi bagi membendung masalah obesiti di Malaysia (Policy Options to Combat Obesity in Malaysia). 
  3. Sebanyak 48 polisi melibatkan komponen pemakanan dan aktiviti fizikal di 3 setting iaitu sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti telah dipersetujui dan dimuktamadkan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan sebagai strategi untuk memerangi masalah berlebihan berat badan dan obes. Pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula merupakan salah satu pilihan polisi yang telah dipersetujui oleh Kabinet untuk mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan pengguna dan seterusnya mencegah obesiti dan penyakit tidak berjangkit. 
PELAKSANAAN CUKAI KE ATAS MINUMAN MANIS BERGULA
  1. Cadangan untuk mengenakan cukai eksais ke atas minuman manis bergula (SSBs) telah bermula pada Jun 2014. Lanjutan daripada itu, beberapa siri pertemuan dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Kastam Diraja, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ahli akademik dan pihak industri telah diadakan bagi membincangkan pelaksanaan cukai eksais ke atas minuman manis bergula di Malaysia dengan lebih lanjut.
  2. Pada Mei 2018, Malaysia telah dilantik untuk menjadi lead country bagi Bengkel Establishment of Framework for the Fiscal Measure for Sugar-Sweetened Beverages (SSBs) yang diadakan di Pullman Putrajaya Lakeside Hotel, Putrajaya. Bengkel ini disertai oleh 9 negara ASEAN, sekretariat ASEAN, wakil UNICEF, wakil WHO dan beberapa perunding dari Malaysia dan Australia. Bengkel ini bertujuan untuk menetapkan satu framework untuk SSBs sebagai rujukan dan panduan negara anggota ASEAN dalam pelaksanaan pengenaan cukai eksais SSBs di negara masing-masing. 
  3. Cukai eksais ke atas minuman manis bergula berkuatkuasa pada 1 Julai 2019 pada kadar harga RM0.40 seliter untuk minuman berkarbonat dan tidak berkarbonat yang mengandungi lebih 5 gram gula bagi setiap 100 ml, jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 ml serta minuman berasaskan susu berperisa UHT yang mengandungi lebih 7 gram gula bagi setiap 100 ml.

Kerajaan Malaysia sentiasa prihatin terhadap kesihatan rakyat Malaysia terutamanya dalam memerangi obesiti dan penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan. Pelaksanaan cukai eksais ke atas minuman manis bergula merupakan strategi untuk mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan pengguna lantaran kenaikan harga minuman bergula kerana cukai. Pengguna akan lebih cenderung untuk mengambil minuman yang lebih sihat seperti air mineral dan susu sebagai pengganti minuman bergula dan secara tidak langsung boleh mengurangkan pengambilan gula yang seterusnya dapat mencegah obesiti dan penyakit tidak berjangkit. Pengenaan cukai eksais ini juga menggalakkan pihak industri untuk merumus semula produk mereka kepada produk yang lebih sihat atau kurang gula berikutan pelepasan membayar cukai sekiranya kandungan gula dalam produk minuman di bawah nilai ambang. Seterusnya, Kementerian Kesihatan pada masa ini bercadang untuk memperluas polisi pengenaan cukai eksais ini ke atas minuman manis yang lain iaitu dari kategori pra-campuran (minuman 3 dalam 1, minuman 2 dalam 1 dan sebagainya) dan makanan yang tinggi kandungan gula di masa akan datang.

Pegawai Untuk Dihubungi

Sektor Kawalan Obesiti dan Penyakit Tidak Berjangkit Berkaitan Pemakanan
Cawangan Pemakanan Komuniti dan Interagensi
>Bahagian Pemakanan