• Theme :
  • +100%-

SIDANG MEDIA MAKAN SECARA SIHAT SEMASA PERAYAAN

Laman Utama > Program Pemakanan > Promosi Pemakanan > Sidang Media Makan Secara Sihat Semasa Perayaan

pengenalan

Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa. Pelbagai perayaan turut disambut oleh rakyat Malaysia seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Deepavali dan Hari Natal. Bagi setiap perayaan, pelbagai juadah dihidangkan untuk meraikan tetamu yang datang ke rumah. YB. Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menyebarkan maklumat makan secara sihat kepada rakyat Malaysia agar mereka dapat mengamalkan pemakanan yang sihat semasa menyambut perayaan. Ini dilaksanakan dengan mengadakan sidang media makan secara sihat semasa perayaan. Sidang media ini diadakan bermula tahun 2012 sempena perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

OBJEKTIF
  • Menyebarkan maklumat makan secara sihat kepada rakyat Malaysia.
  • Mengingatkan masyarakat untuk mengamalkan pemakanan yang sihat semasa menyambut perayaan.
SIDANG MEDIA

i. Makan Secara Sihat Di Tahun Baru Cina

Pada tahun 2012, Sidang media makan secara sihat di Tahun Baru Cina ini telah diadakan di Pusat Maklumat Pemakanan KKM, Aras 2, Blok E10, Parcel E, Putrajaya. Sempena sidang media ini, buku kecil bertajuk ‘Makan Secara Sihat Di Tahun Baru Cina’ telah diperkenalkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Buku kecil tersebut menyenaraikan beberapa tip untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia seperti 8 Tip Penyediaan Hidangan Sihat semasa Perayaan Tahun Baru Cina dan 8 Tip Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Tahun Baru Cina. Di samping itu juga, tip amalkan 88888 setiap hari turut diperkenalkan iaitu:

  • Berhenti makan sebelum kenyang (kira-kira 80% kenyang).
  • Makan malam sebelum jam 8 malam.
  • Minum 8 gelas air kosong.
  • Tidur 8 jam.
  • Berjalan sekurang-kurangnya 8,000 langkah. 10,000 langkah lebih bagus.

Pada Tahun 2013, sidang media ini telah diadakan di Persatuan Restoran Selangor dan Wilayah Persekutuan Ku Su Shin Choong Hung, Kuala Lumpur. Pada sidang media ini, buku kecil ’makan secara sihat, resipi kehidupan sihat’ telah diperkenalkan dengan tambahan mesej utama ’Amalkan 3665 Setiap Hari’ iaitu:

  • 3 sajian sayur-sayuran.
  • 6 sajian bijirin.
  • Hadkan kepada 60g lemak.
  • Hadkan kepada 5g garam.

Di samping itu juga, turut diperkenalkan 12 resipi sihat yang boleh digunakan oleh rakyat Malaysia untuk dimasak semasa menambut perayaan Tahun Baru Cina bagi meraikan tetamu yang hadir. Aktiviti lain yang turut diadakan adalah pameran makanan semasa perayaan Tahun Baru Cina berserta kalori.

Bahan terbitan:
  • Buku Kecil Makan Secara Sihat, Resipi Kehidupan Sihat (BM)
  • Buku Kecil Makan Secara Sihat, Resipi Kehidupan Sihat (BI)
  • Buku Kecil Makan Secara Sihat, Resipi Kehidupan Sihat (BC)

ii. Makan Secara Sihat Sempena Hari Raya Aidilfitri 2012

Sidang media Makan Secara Sihat Sempena Hari Raya Aidilfitri 2012 telah diadakan pada 9 Ogos 2012 oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai bertempat di Ruang Legar Aras 1, Blok E3, KKM. Buku Kecil Makan Secara Sihat Di Hari Raya turut diperkenalkan. Di dalam buku ini, terdapat senarai kandungan kalori bagi juadah yang sering dihidang semasa hari raya serta aktiviti bagi pembakaran kalori. Di samping itu juga, mesej utama yang diperkenalkan ialah ‘Amalkan 55555 untuk kekal sihat di hari raya’ iaitu:

  • Makan 5 kumpulan makanan setiap hari.
  • Makan 5 sajian buah dan sayur.
  • Hadkan kepada 500 kalori sahaja untuk setiap waktu makan utama.
  • Hadkan kepada 5 gram atau 1 sudu teh gula sahaja untuk minuman manis; kurang lebih baik.
  • Bersenam 5 kali seminggu.

Aktiviti lain yang turut diadakan adalah pameran makanan semasa Hari Raya Aidilfitri berserta kalori, pemeriksaan berat badan dan runding cara pemakanan serta aktiviti fizikal..

Bahan terbitan:

iii. Makan Secara Sihat Sempena Perayaan Deepavali 2012

Sidang media Makan Secara Sihat semasa perayaan Deepavali 2012 telah diadakan pada 7 November 2012 oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai bertempat di Kompleks Kesihatan Bandar Botanic, Klang, Selangor. Sidang media ini diadakan bersama-sama dengan majlis perasmian Kompleks Kesihatan Bandar Botanic, Klang dan penyerahan kunci ambulan.
Dalam majlis ini juga, buku kecil bertajuk ‘Panduan Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali’ telah diperkenalkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Buku kecil tersebut menyenaraikan contoh makanan dan kandungan kalori yang biasa dihidangkan semasa perayaan Deepavali berserta pembakaran kalori. Turut disertakan beberapa tip untuk diamalkan oleh rakyat Malaysia semasa perayaan Deepavali seperti 7 Tip Penyediaan Hidangan Sihat semasa Perayaan Deepavali dan 7 Tip Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali. Di samping itu juga, mesej utama yang diperkenalkan ialah 7 Warna-warni Hidangan Deepavali yang terdiri daripada:

  • Hadkan 1 hidangan makanan berlemak, berminyak atau bergoreng pada setiap waktu makan.
  • Ambil 2 sajian buah setiap hari.
  • Ambil 3 sajian sayur setiap hari.
  • Elak mengambil makanan 4 jam sebelum tidur.
  • Hadkan kepada 5 gram atau satu sudu teh gula dalam minuman, jika perlu.
  • Minum 6-8 gelas air setiap hari.
  • Lakukan aktiviti fizikal, sebaik-baiknya 7 kali seminggu.

Aktiviti lain yang turut diadakan adalah pameran makanan yang biasa dihidangkan semasa perayaan Deepavali berserta kalori.

Bahan terbitan:
  • Panduan Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali (BM)
  • Panduan Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali (BI)
  • Panduan Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali (BT)
Pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Puan Surainee Wahab
surainee@moh.gov.my
03-88924457

atau

Puan Norfahimah Mohd Norddin
fahimah@moh.gov.my
03-88924474