PERKHIDMATAN RUNDING CARA PEMAKANAN DI KLINIK KESIHATAN

Laman Utama > Program Pemakanan > Pemulihan Pemakanan > Perkhidmatan Runding Cara Pemakanan di Klinik Kesihatan

PENGENALAN

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) mendapati kadar obesiti telah meningkat sebanyak lima kali ganda iaitu dari 4.0% pada tahun 1996 ke 19.7% pada tahun 2019. Keadaan ini meningkatkan risiko penyakit berkaitan pemakanan seperti hipertensi dan diabetes yang merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kematian akibat penyakit kardiovaskular di Malaysia.

Bagi mengawal dan memulihkan masalah kesihatan berkaitan dengan pemakanan, perkhidmatan runding cara pemakanan ditawarkan di klinik kesihatan kerajaan yang dikendalikan oleh Pegawai Sains (Pemakanan) mengikut temujanji. Perkhidmatan ini merupakan salah satu intervensi pemakanan kepada pelanggan yang berisiko atau yang telah didiagnosa dengan penyakit berkaitan pemakanan oleh Pakar Perubatan Keluarga atau Pegawai Perubatan. Perkhidmatan ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2007 di 17 buah klinik kesihatan secara rintis dan sehingga Disember 2019, sebanyak 302 buah klinik kesihatan di seluruh negara telah menyediakan perkhidmatan ini. Walau bagaimanapun, jumlah tersebut masih lagi kecil berbanding dengan jumlah klinik kesihatan di seluruh negara iaitu sebanyak 1090 buah.

Selari dengan penguatkuasaan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu (Akta 774), perkhidmatan runding cara pemakanan oleh Pegawai Sains (Pemakanan) telah memfokuskan kepada masalah berkaitan berat badan di kalangan bayi, kanak-kanak, remaja, ibu (sebelum, semasa hamil dan selepas bersalin), dewasa dan warga emas, masalah penyusuan susu ibu, makanan pelengkap bayi, masalah anaemia (berkaitan kekurangan zat besi), serta kekurangan/ berlebihan nutrien tertentu bermula tahun 2019.

OBJEKTIF

Untuk mengawal dan memulihkan masalah kesihatan berkaitan pemakanan pelanggan melalui pendekatan runding cara pemakanan secara individu atau berkumpulan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang normal dan dapat memberi sumbangan ke arah meningkatkan produktiviti negara.

Pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Puan Nur Dayana Shaari
ndayana@moh.gov.my
03-8892 4462

BAHAN TERBITAN

Prosedur Operasi Standard (SOP)

Garis Panduan

  • Pengurusan Berat Badan Untuk Orang Dewasa yang Berlebihan Berat Badan & Obes.
  • Pengendalian Kanak-kanak/Remaja Berlebihan Berat Badan