MyChoice

Laman Utama >MyChoice

PENGENALAN

Program MyChoice merupakan program baru di mana Logo MyChoice akan diberikan kepada hidangan makanan/ minuman yang memenuhi kriteria nutrien yang ditetapkan.Hidangan yang mempunyai Logo MyChoice merupakan pilihan yang lebih sihat di restoran tersebut. Tujuan program ini adalah untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan yang lebih bijak dengan memilih makanan/ minuman yang mempunyai Logo MyChoice. Secara tidak langsung, situasi ini dapat mewujudkan persekitaran yang menyokong amalan makan secara sihat. Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan untuk menggalakkan industri perkhidmatan makanan untuk menghasilkan hidangan makanan dan minuman yang lebih sihat.

Setiap set hidangan makanan yang mendapat logo MyChoice mempunyai kalori tidak lebih daripada 500 kcal, kandungan natrium tidak lebih daripada 650 mg dan mempunyai sekurang-kurangnya satu sajian sayuran dan terdiri daripada kumpulan makanan yang seimbang.. Bagi kategori minuman pula, setiap hidangan minuman yang mendapat Logo MyChoice mempunyai kalori tidak lebih daripada 120 kcal dan jumlah gula tidak lebih daripada  5/ 7/ 12 bagi setiap 100 ml minuman bergantung kepada jenis minuman.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program Pilihan Lebih Sihat (Healthier Choice Logo, HCL) yang memberi pengiktirafan kepada produk makanan berbungkus yang lebih sihat. Logo MyChoice akan diberikan kepada pilihan hidangan yang lebih sihat berbanding menu lain yang terdapat di restoran tersebut.

Pemaparan logo MyChoice ini diharap memudahkan pelanggan memilih makanan dan minuman yang lebih sihat sewaktu makan di luar. KKM tidak mempromosikan mana-mana rangkaian restoran, tetapi memberi pengesahan bagi pilihan menu yang lebih sihat yang ada di restoran berkenaan. Permohonan terbuka kepada semua rangkaian restoran di Malaysia yang mempunyai  menu yang sama di semua cawangan. Rangkaian restoran ini termasuk restoran francais, syarikat makanan segera dan syarikat persendirian.

BAHAN TERBITAN
INFOGRAFIK
Pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Sekretariat MyChoice
Bahagian Pemakanan,
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 1, Blok E3, Kompleks E, Presint 1,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya.

03-8892 4457/4556
mychoice@moh.gov.my

PAUTAN

Senarai Restoran MyChoice

Borang Permohonan