INISIATIF PROMOSI MAKANAN DAN MINUMAN YANG LEBIH SIHAT

PERUNDINGAN BERSAMA INDUSTRI PERKHIDMATAN MAKANAN DAN MINUMAN UNTUK INISIATIF PROMOSI DAN PENYEDIAAN MAKANAN DAN MINUMAN YANG LEBIH SIHAT DI RESTORAN MAKANAN SEGERA DI MALAYSIA

Laman Utama > Inisiatif Promosi Makanan Dan Minuman Yang Lebih Sihat

Inisiatif ini telah dimulakan pada 2014 yang telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada syarikat makanan segera. Selain itu, mesyuarat secara berasingan juga diadakan bersama syarikat makanan segera. Tedapat 12 syarikat makanan segera yang menyertai inisiatif ini.

Objektif inisiatif ini adalah untuk:

  1. Membantu pengguna membuat pilihan yang lebih sihat di restoran makanan segera.
  2. Menggalakkan amalan yang baik di kalangan pengusaha restoran makanan segera dalam menghasilkan makanan lebih sihat
  3. Meningkatkan amalan pemakanan sihat bagi jangka masa panjang di kalangan rakyat, mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan.
  4. Mewujudkan rakyat yang lebih peka terhadap kandungan kalori dalam makanan yang diambil.

Melalui inisaitif ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar pengusaha restoran makanan segera untuk

  • Mengurangkan saiz hidangan makanan
  • Memperkenalkan pilihan yang lebih sihat (kurang lemak, kurang gula, kurang sodium, tingkatkan kandungan serat dalam makanan)
  • Pertukaran air berkarbonat kepada air mineral secara percuma
  • Memperkenalkan set makanan yang kurang kandungan kalori

Di samping itu, KKM turut menyarankan pengusaha  restoran makanan segera untuk membuat pelabelan kandungan kalori dan nutrien bagi makanan segera seperti yang disarankan dalam Garis Panduan Pengiklanan dan Pelabelan Makanan Segera 2008.

Pelabelan maklumat pemakanan hendaklah dibuat sama ada pada pembungkus, kotak, pelapik dulang, brosur, pamplet atau poster. Brosur, pamplet atau poster (sekiranya digunakan) perlulah diletakkan di kawasan yang mudah dilihat oleh pengguna

  1. Maklumat pemakanan yang perlu dipaparkan dalam panel maklumat pemakanan bagi semua produk adalah kandungan tenaga, karbohidrat, lemak dan protein. Sebagai tambahan, maklumat kandungan gula perlu dilabelkan bagi produk minuman, manakala maklumat kandungan garam pula dilabelkan bagi produk makanan.
  2. Peratusan yang dicapai daripada saranan pengambilan nutrien bagi tenaga, karbohidrat, lemak, protein, gula dan garam dalam setiap produk perlu dipaparkan dalam panel maklumat pemakanan.
  3. Bagi produk biasa, peratus saranan pengambilan nutrien yang dicapai perlulah berdasarkan purata saranan bagi golongan dewasa berumur 19-65 tahun, manakala bagi hidangan untuk kanak-kanak, peratus saranan pengambilan harian yang dicapai perlulah berdasarkan purata saranan bagi kanak-kanak berumur 4-9 tahun.
  4. Contoh format pelabelan maklumat pemakanan yang perlu dipaparkan bagi produk makanan dan minuman adalah seperti berikut:

i) Produk makanan

Contoh:                          Jenis Makanan : Burger ayam

1 Hidangan (biasa) = 150g

Nutrien Kandungan % RNI
Tenaga (kkal) 300.0 14
Karbohidrat (g) 33.0 11
Protein (g) 12.0 21
Lemak (g) 14.0 24
Garam (g) 0.4 7

(% RNI berasaskan 2130 kcal)

ii) Produk minuman

Contoh:                             Jenis Minuman : Jus Oren

1 Hidangan (biasa) = 115 ml

Nutrien Kandungan % RNI
Tenaga (kkal) 51 2
Karbohidrat (g) 12 4
Protein (g) 0 0
Lemak (g) 0 0
Gula (g) 12 4

(% RNI berasaskan 2130 kcal)

5.Pihak industri juga boleh menggunakan format lain yang lebih menarik bagi memaparkan maklumat pemakanan tersebut seperti  menggunakan “nutritional signpost” tetapi masih perlu merujuk kepada saranan pengambilan harian yang dinyatakan dalam garis panduan ini.

6. Maklumat tambahan seperti saiz hidangan makanan dan minuman  sama ada kecil (small) , biasa (regular) atau besar (large) juga perlu dinyatakan pada label.