INISIATIF PEMERKASAAN PIBG BAGI MENANGANI MASALAH OBESITI DI KALANGAN MURID SEKOLAH: CARA HIDUP ANDA TERBAIK (C-HAT)

PENGENALAN

Program Pemerkasaan PIBG Bagi Menangani Masalah Obesiti di Kalangan Murid Sekolah yang juga dikenali sebagai Inisiatif C-HAT (Cara Hidup Anda Terbaik) merupakan mandat daripada YBMK untuk dilaksanakan pada tahun 2016 – 2018. Ia merupakan hasil kolaborasi pintar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai salah satu strategi untuk menangani masalah obesiti di kalangan pelajar sekolah. Inisiatif ini menggunakan PIBG yang dilatih sebagai duta atau agen perubahan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ke arah amalan pemakanan dan gaya hidup sihat.

Taklimat dan latihan diadakan secara berfasa selama 3 tahun bermula 2016 – 2018 manakala pemantauan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pemakanan dan gaya hidup sihat dijalankan pada tahun 2019. Mengikut sasaran Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (NPANM III, 2016-2025), bermula tahun 2019, sekurang-kurangnya 1 aktiviti berkaitan pemakanan atau kesihatan perlu dijalankan di setiap daerah pada setiap tahun. Pada tahun 2020, Inisiatif C-HAT juga telah dipilih untuk menjadi Key Performance Indicator (KPI) bagi Pengarah Bahagian Pemakanan iaitu peratus daerah yang melaksanakan sekurang-kurangnya satu aktiviti C-HAT, dengan sasaran 100% daerah melaksanakan aktiviti ini.

Strategi yang digunakan dalam pelaksanaan inisiatif ini termasuklah meningkatkan pengetahuan dan kesedaran ibu bapa serta guru mengenai kepentingan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal dan seterusnya menterjemahkan pengetahuan yang diperolehi dengan mengamal dan membudayakan amalan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal secara berterusan di sekolah dan di luar sekolah. PIBG yang dilatih dapat mengeratkan hubungan, bertukar pandangan dan pendapat, membina keyakinan serta keupayaan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti pemakanan dan kesihatan yang sesuai bagi menyampaikan maklumat kepada pelajar sekolah.

OBJEKTIF
  1. Membentuk murid yang sihat dan produktif melalui pembudayaan amalan gaya hidup sihat dengan pemerkasaan PIBG.
  2. Memantapkan program promosi dan intervensi menangani masalah obesiti di sekolah dengan menambah nilai program atau aktiviti sedia ada di peringkat sekolah dan komuniti.
  3. Meluaskan capaian program PIBG bagi membentuk sekumpulan pasukan yang terlatih dalam membantu menangani masalah obesiti di sekolah.
  4. Menurunkan prevalen obesiti dalam kalangan murid sekolah.
AKTIVITI YANG DIJALANKAN

Secara kumulatif, sebanyak 8,426 (82.6%) buah sekolah telah diberi taklimat dan latihan meliputi seramai 16,013 orang ahli PIBG dari tahun 2016 hingga 2018. Taklimat dan latihan C-HAT merangkumi 4 Modul seperti berikut:

  1. Senario Masalah Obesiti Di Malaysia
  2. Peranan PIBG dalam Menangani Masalah Obesiti Di Sekolah
  3. Pemerkasaan PIBG Melalui Program Pemakanan Sihat Di Sekolah dan Pemantauan (BMI)
  4. Pemerkasaan PIBG Melalui Aktiviti Fizikal Di Sekolah

Selain itu, Mesyuarat Pengukuhan Inisiatif C-HAT juga telah diadakan di Zon Utara & Tengah, Zon Selatan, Zon Timur, Sabah, Sarawak dan Labuan pada tahun 2018 dan 2019 untuk melatih lebih banyak Jurulatih Utama (JU) C-HAT dan membentuk Pelan Tindakan C-HAT negeri masing-masing. Sehingga kini, terdapat seramai 215 orang JU C-HAT telah dilatih bagi melaksanakan aktiviti C-HAT di seluruh negeri.

KESIMPULAN

Kesedaran mengenai kepentingan amalan pemakanan dan cara hidup sihat serta penglibatan ibu bapa dan guru dalam usaha menangani masalah obesiti dalam kalangan murid sekolah masih di tahap yang kurang memberangsangkan. Kerjasama padu Pegawai Sains (Pemakanan) dengan PIBG sekolah akan lebih memberi semangat dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti C-HAT di sekolah. Kolaborasi berterusan di antara PSP dan PIBG amat perlu bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan aktiviti-aktiviti C-HAT dan dapat meningkatkan semangat dan motivasi mereka dalan menjalankan aktiviti-aktiviti pemakanan dan kesihatan.

BAHAN PENERBITAN

Garis Panduan Pelaksanaan Pemerkasaan PIBG Dalam Menangani Masalah Obesiti Dalam Kalangan Murid Sekolah (C-HAT)

PERTANYAAN LANJUT, SILA HUBUNGI:

Sektor Kawalan Obesiti dan Penyakit Tidak Berjangkit Berkaitan Pemakanan
Cawangan Pemakanan Komuniti dan Interagensi
Bahagian Pemakanan