• Theme :
  • +100%-

INISIATIF KLINIK RAKAN BAYI (KRB)

Laman Utama > Program Pemakanan > Promosi Pemakanan > Inisiatif Klinik Rakan Bayi (KRB)

PENGENALAN

Pelaksanaan Klinik Rakan Bayi (KRB) adalah salah satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu di kemudahan kesihatan yang memberikan perkhidmatan kesihatan kepada ibu dan anak (Klinik Kesihatan, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak dan Klinik Desa) di seluruh Negara. Ia juga merupakan kesinambungan daripada Pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi di hospital.
Klinik Rakan Bayi bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan dan persekitaran yang mempromosi dan menyokong amalan penyusuan susu ibu. Penubuhan ini merupakan salah satu strategi KKM untuk menggalakkan ibu-ibu untuk menyusukan bayi mereka dengan susu ibu secara eksklusif sejak lahir sehingga 6 bulan pertama dan meneruskannya sehingga bayi berumur 2 tahun.

Sesebuah Klinik Rakan Bayi perlu melaksanakan Sembilan Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya Di Peringkat Klinik yang telah diubah suai daripada The Seven Point Plan for Sustaining Breastfeeding in Community, UNICEF UK Baby Friendly Initiative (Revised, September 2008).

Sembilan Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya Di Peringkat Klinik adalah seperti berikut :

  • LANGKAH 1 : Mempunyai polisi penyusuan susu ibu secara bertulis yang menerangkan dengan jelas mengenai galakan, sokongan dan perlindungan kepada penyusuan susu ibu.
  • LANGKAH 2 : Melatih semua anggota kesihatan yang terlibat dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak dengan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan polisi ini.
  • LANGKAH 3 : Memberitahu semua ibu hamil mengenai kebaikan penyusuan susu ibu dan cara pengurusannya.
  • LANGKAH 4 :Memberi tunjuk ajar kepada ibu-ibu cara menyusu dan mengekalkan penyusuan walaupun mereka terpisah dengan bayi.
  • LANGKAH 5 : Menggalakkan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dan penyusuan mengikut kehendak bayi (on demand), dorongan bayi (baby-led feeding) atau apabila bayi menunjukkan tanda-tanda ingin menyusu (feeding cues).
  • LANGKAH 6 : Menyediakan ruang dan kemudahan yang sesuai untuk ibu-ibu menyusu.
  • LANGKAH 7 : Membuat lawatan ke rumah untuk memberikan bantuan berkaitan penyusuan susu ibu selepas kelahiran dilaporkan di klinik kesihatan.
  • LANGKAH 8 : Menubuh atau mengukuhkan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu dan merujuk ibu-ibu kepada kumpulan ini untuk membantu mereka dalam penyusuan susu ibu.
  • LANGKAH 9 : Semua anggota kesihatan perlu mematuhi Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.

Semua kemudahan kesihatan yang memberikan perkhidmatan kesihatan kepada ibu dan anak (Klinik Kesihatan, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak dan Klinik Desa) di seluruh Negara adalah disasarkan untuk diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi.

OBJEKTIF

Objektif Am:
Memastikan perkhidmatan serta persekitaran di klinik menyokong, melindungi dan mempromosi penyusuan susu ibu.

Objektif Khusus:

  • Memastikan pihak klinik melaksanakan Sembilan Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya Di Peringkat Klinik.
  • Memastikan semua anggota kesihatan yang memberikan perkhidmatan kepada ibu dan anak adalah dilatih dalam pengurusan penyusuan susu ibu.
  • Memastikan semua anggota kesihatan memberikan khidmat nasihat, tunjuk ajar dan merujuk mereka kepada kumpulan sokongan di peringkat komuniti.
  • Memastikan pihak klinik menyediakan ruang yang sesuai atau selesa untuk ibu-ibu menyusu di klinik kesihatan.
  • Memastikan semua anggota kesihatan mematuhi Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan.

AKTIVITI YANG DIJALANKAN

  • Pemantauan Dalaman Pelaksanaan Klinik Rakan Bayi
  • Pengiktirafan Klinik Rakan Bayi
  • Penilaian Semula Klinik Rakan Bayi


PERTANYAAN LANJUT, SILA HUBUNGI:

Rashadiba Binti Ibrahim @ Rahman
rashadiba@moh.gov.my
03 – 88924453

Nur Shafawati Binti Mohd.Ghazali
shafawati_ghazali@moh.gov.my
03 – 88924470