• Theme :
  • +100%-

INISIATIF HOSPITAL RAKAN BAYI (BFHI)

Laman Utama > Program Pemakanan > Promosi Pemakanan > Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI)

PENGENALAN

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengatur dan melaksanakan pelbagai strategi dalam mempromosikan penyusuan susu ibu. Salah satu strategi untuk menggalakkan penyusuan susu ibu di Malaysia adalah melalui pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi.

Inisiatif Hospital Rakan Bayi adalah merupakan satu inisiatif global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang bertujuan untuk memastikan setiap bayi mendapat permulaan kehidupan yang terbaik melalui persekitaran yang menyokong penyusuan susu ibu. Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) telah dilancarkan pada tahun 1991. Sehingga kini lebih daripada 20,000 hospital di seluruh dunia telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi. Malaysia telah melaksanakan inisiatif ini semenjak daripada tahun 1993. Pada tahun 1998, Malaysia telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai negara ketiga di dunia mempunyai 100% hospital kerajaan yang diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi.

Untuk mendapat pengiktirafan Sebagai Hospital Rakan Bayi, hospital perlu melaksanakan 10 Langkah Ke Arah Penyusuan  Susu Ibu Yang Berjaya menggunakan ‘WHO/UNICEF Baby-Friendly Hospital Initiative Global Criteria’. 10 Langkah ini merupakan kriteria yang telah ditetapkan pada tahun 1989 dalam pelaksanaan Hospital Rakan Bayi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) dan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Children’s Fund).

United Nation Children’s Fund (UNICEF) dan World Health Organization (WHO) telah mengemas kini kriteria global iaitu 10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya di mana aspek pematuhan Tata Etika, sokongan kepada ibu-ibu yang tidak menyusukan anak dengan susu ibu, mother-friendly care dan HIV and infant feeding di ambil kira dalam pelaksanaan kriteria global tersebut. Sehubungan dengan itu, semua hospital yang tamat tempoh tarikh sah laku sebagai Hospital Rakan Bayi pada 2012 akan dinilai semula menggunakan kriteria lama bermula Januari sehingga Mei 2012. Manakala penilaian semula menggunakan kriteria baru akan dijalankan mulai Januari 2013 bagi hospital yang tamat tempoh tarikh sah laku bagi tahun 2013.

OBJEKTIF

Hospital Rakan Bayi dibentuk untuk melindungi, mempromosi dan menyokong Penyusuan Susu Ibu iaitu dengan :-

  • Mewujudkan sebuah persekitaran yang menyokong ibu-ibu bagi menyusukan anaknya dengan susu ibu.
  • Menyediakan sebuah perkhidmatan yang membantu ibu menyusukan anaknya.
  • Menjalankan polisi yang melindungi penyusuan susu ibu.

PERTANYAAN LANJUT, SILA HUBUNGI:

Puan Norsyamlina Che Abdul Rahim
norsyamlina@moh.gov.my
03-88924509