Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia

Laman Utama > Bahagian Pemakanan> Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia

Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia telah dibentuk dan diluluskan oleh kabinet pada 2003 seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM I), 1996-2000. Dasar ini bertujuan memantapkan usaha memerangi masalah kekurangan pemakanan dan penyakit kronik yang berkaitan dengan pemakanan. Ia menggariskan hala tuju untuk pembangunan dan pelaksanaan bagi semua aktiviti pemakanan dan yang berkaitan dengannya di negara ini.

Kenyataan Dasar
Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia berusaha memastikan kesejahteraan penduduk dicapai dan dikekalkan melalui pemakanan. Dasar ini bertujuan untuk memastikan agar segenap lapisan masyarakat mendapat bekalan makanan yang mencukupi, berzat selamat dan berkualiti. Ia menggalakkan dan menyokong strategi bagi amalan pemakanan yang sihat. Dasar ini juga akan menyepadukan dan menggemblengkan usaha pihak yang berkepentingan dalam perancangan, pelaksanaan serta penampilan program makanan dan pemakanan yang berkesan dan mampan.

Matlamat Dasar
Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia bertujuan memastikan kesejahteraan penduduk dicapai dan dikekalkan melalui pemakanan untuk membolehkan mereka menyumbang secara berkesan ke arah pembangunan negara, selaras dengan Wawasan 2020.

Objektif Dasar

  1. Meningkatkan dan mengekalkan kesejahteraan semua penduduk melalui pemakanan.
  2. Memastikan bekalan makanan yang terjamin untuk semua lapisan masyarakat.
  3. Mengukuhkan hubungan antara sektor yang terlibat dalam pembangunan serta pelaksanaan semua aktiviti pemakanan dan yang berkaitan dengannya di negara ini.

Mekanisma Pelaksanaan
Pelaksanaan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan. Ianya digerak, dipantau dan dinilai oleh Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan untuk Makanan dan Pemakanan (NCCFN) melalui Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM).

Dasar ini sedang dalam proses semakan semula supaya selari dengan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) III, 2016-2025 serta keperluan semasa, halatuju dan dasar-dasar terkini berkaitan pemakanan yang telah digubal dari dalam dan luar negara.